PONTIAN, 6 Nov — Terminal Feri Antarabangsa Kukup dekat sini, yang ditutup sementara sejak 1 Sept lepas mula beroperasi semula hari ini.
Mengumumkan pembukaan semula terminal itu, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata surat kebenaran untuk feri berlabuh di Terminal Tanjung Balai, Pulau Karimun diterima kerajaan negeri pada pukul 5.56 petang semalam daripada kerajaan Indonesia.
Dengan pembukaan terminal feri itu, ia mencerminkan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Indonesia dalam menyelesaikan beberapa isu sekali gus mempercepatkan pengoperasian semula terminal feri berkenaan.
“Saya harap Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) akan dapat membuat penambahbaikan untuk menggalakkan lebih ramai pelancong ke kawasan ini,” kata beliau kepada pemberita ketika menanti operasi pertama feri dari Tanjung Balai di terminal itu hari ini.
Operasi terminal feri itu dihentikan sementara berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut dan operasinya dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
PAJ mula mengambil alih operasi feri sejak 1 Sept lepas. “Setakat ini, operasi di terminal itu hanya menawarkan satu laluan iaitu Kukup ke Tanjung Balai, Karimun, dan boleh membawa penumpang seramai 130 orang. Secara purata dijangka lebih kurang 13,000 orang penumpang sebulan yang keluar melalui terminal berkenaan,” katanya.
Berhubung hutang syarikat konsesi terminal feri itu sebelum ini, Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri akan tetap menuntut hutang daripada syarikat itu.
Beliau berkata terminal itu akan beroperasi secara berperingkat bermula dengan lima slot sehari yang akan dikendalikan oleh operator sedia ada. Sementara itu, empat slot lagi akan dibuka kepada operator feri lain yang berminat dengan permohonan akan diselia oleh satu jawatankuasa khas pemilihan, kata beliau.
Pada peringkat awal ini, lima slot yang disediakan dari Kukup ke Tanjung Balai adalah pada 8 pagi, 10 pagi, 12 tengah hari, 2 petang dan 5 petang manakala di Tanjung Balai menawarkan lima slot ke Kukup pada 7.45 pagi, 9 pagi, 11 pagi, 1.30 petang dan 3 petang (waktu Indonesia Barat).Perjalanan dari Kukup ke Tanjung Balai memakan masa kira-kira sejam. Tambang feri adalah RM100 bagi dewasa untuk perjalanan sehala dan RM125 bagi pergi-balik serta RM70 bagi kanak-kanak sehala dan RM85 pergi-balik.
— BERNAMA